๐ ๐๐ฅ๐ ๐ฃ๐๐ฅ๐๐๐ฆ๐ ๐จ๐ฆ๐๐๐๐ช๐๐ก ๐ช๐๐ก๐๐ง๐ ๐ฆ๐๐ฅ๐๐๐ก
SERIAN, 1 November 2025 – Seramai 300 peserta wanita dari daerah Serian telah menyertai Program Pemerkasaan Wanita dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Sarawak 2025 di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, satu inisiatif signifikan yang bertujuan memperkukuh peranan wanita dalam bidang keusahawanan serta mempertingkat kefahaman terhadap nilai kenegaraan berteraskan konsep Malaysia MADANI.
Program anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Akademi Kenegaraan Malaysia itu menyediakan platform bermanfaat bagi pendedahan kepada peluang pembangunan diri, bimbingan keusahawanan serta kemudahan pembiayaan bagi wanita di negeri ini.
Selain ceramah dan sesi perkongsian ilmu, program turut dimeriahkan dengan pameran lapan agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GIATMARA, di samping penyertaan lapan usahawan tempatan yang mempamerkan pelbagai produk inovatif komuniti Serian.
Majlis penutupan disempurnakan oleh YBhg. Puan Ajar @ Siti Ajar binti Yasin, Ahli Majlis MARA dan turut dihadiri oleh Encik A. Razu bin Abdul Razak, Pengarah MARA Negeri Sarawak serta Tuan Haji Alfitri bin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA dan Puan Nur Jillierenie binti Japar, Pegawai Eksekutif Akademi Kenegaraan Malaysia.
Turut diadakan penyerahan surat tawaran penerima geran dan pembiayaan perniagaan MARA, bantuan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar B40 bahagian Serian, serta bantuan Rural Capital Berhad (RCB) kepada golongan asnaf sebagai simbol keprihatinan dan semangat empati dalam kerangka Malaysia MADANI.
Program ini jelas membuktikan bahawa wanita Serian bukan sekadar peneraju keluarga, malah turut menjadi pemangkin ekonomi komuniti dan pembangunan bangsa.



