𝗧𝗣𝗠 π— π—˜π—‘π—˜π—Ÿπ—¨π—¦π—¨π—₯π—œ π—£π—˜π—₯𝗔𝗑𝗔𝗑 π—¨π—»π—Άπ—žπ—Ÿ π—•π— π—œ π——π—”π—Ÿπ—”π—  π—£π—˜π— π—•π—”π—‘π—šπ—¨π—‘π—”π—‘ π—§π—©π—˜π—§ π—•π—˜π—₯π—§π—˜π—žπ—‘π—’π—Ÿπ—’π—šπ—œ π—§π—œπ—‘π—šπ—šπ—œ

GOMBAK, 15 Disember 2025 β€” Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) menerima lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebagai sebahagian daripada usaha meninjau peranan institusi TVET dalam memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara. Lawatan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap sumbangan UniKL BMI dalam bidang tenaga, elektrik, elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan bioperubatan elektronik, dengan kadar kebolehpasaran graduan institusi itu mencecah 97.2 peratus pada tahun 2024.

Sempena lawatan berkenaan, bangunan Sustainable Energy Living Lab (SELL) telah dirasmikan sebagai bangunan net-zero/energy-plus pertama di Malaysia. Fasiliti ini berfungsi sebagai platform latihan dan penyelidikan dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui, sistem storan tenaga serta pengurusan bangunan pintar, selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050. UniKL BMI juga berperanan sebagai pusat tauliah Suruhanjaya Tenaga dan SEDA Malaysia bagi latihan serta pensijilan kompetensi tenaga.

Selain sektor tenaga, UniKL BMI turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat industri semikonduktor melalui inisiatif UniTRON, latihan penyelenggaraan peralatan bioperubatan dan fasiliti hospital, serta pembangunan kemahiran digital menerusi kerjasama strategik bersama Huawei dan Alibaba Cloud. Inisiatif bersepadu ini menyokong keperluan industri berteknologi tinggi dan agenda transformasi negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi binti Dato’ Dusuki, Pengerusi MARA, pengurusan kanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Encik Zahari bin Aziz, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Encik Yahaya bin Sani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn Bhd serta barisan pengurusan Majlis Amanah Rakyat dan Universiti Kuala Lumpur.