𝗔𝗦𝗣𝗜𝗥𝗔𝗦𝗜 ‘𝗨𝗡𝗜𝗙𝗜𝗘𝗗 𝗘𝗡𝗧𝗜𝗧𝗬’ 𝗠𝗔𝗥𝗔, 𝗝𝗔𝗡𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗔𝗣𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗧𝗘𝗖 𝗥𝗠𝟱𝟬 𝗝𝗨𝗧𝗔

KUALA LUMPUR, 2 NOVEMBER 2025 – Kerajaan MADANI mengumumkan lonjakan strategik dalam ekosistem automotif negara, menyasarkan penjanaan transaksi jualan bernilai RM50 juta melalui penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025). Inisiatif ini digerakkan di bawah rangka kerja ‘Unified Entity’ (Entiti Bersepadu) MARA yang menjadi model baharu perhubungan antara pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Hajah Rubiah binti Wang berkata, aspirasi ‘Unified Entity’ MARA adalah pendekatan komprehensif kerajaan untuk memastikan bakat dan perniagaan tempatan kekal relevan serta berdaya saing di peringkat global.
“MATEC 2025 adalah bukti kejayaan konsep ‘Unified Entity’ MARA yang dipamerkan dalam sebuah program berprestij kepada orang awam. Misalnya, bermula daripada Institusi TVET MARA yang menyediakan latihan dan kemahiran berkualiti kepada anak-anak muda. Kemahiran dan bakat yang diasah kemudian diberikan kelebihan ke dalam sektor keusahawanan untuk menjadi seorang usahawan. Seterusnya, sektor pelaburan MARA memberikan sokongan padu untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas bagi melengkapkan kitaran ekosistem tersebut.
“Langkah ini dilihat kritikal untuk melonjakkan lebih 5,000 usahawan automotif Bumiputera sedia ada ke sektor ‘High Growth High Value’ (HGHV), khususnya dalam teknologi Kenderaan Elektrik (EV). Hasrat ini telah pun dibangunkan oleh MARA melalui pewujudan syarikat peneraju tempatan seperti GGR Motor,” ujar YB Datuk Hajah Rubiah.
“Usaha sama 6 (MoU) dan (MoA) ini bakal menyuntik tenaga baharu dengan menghubungkan pelajar TVET MARA dan GIATMARA terus kepada gergasi industri seperti Volvo dan Modenas,” tambahnya lagi.
YB Timbalan Menteri turut mengumumkan inisiatif berimpak tinggi semasa melancarkan MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Perkarangan Stadium Bukit Jalil, hari ini. Bertemakan “Charge the Hype”, MATEC 2025 yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November 2025, menjangkakan kehadiran seramai 104,100 pengunjung serta melibatkan 200 reruai pameran.
Bagi memperkukuhkan rantaian bekalan bakat dan perniagaan, enam (6) Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian (MoA) strategik telah dimeterai antara MARA dan rakan industri utama termasuk Volvo, Modenas, YTL Technologies, MArii, Mannol dan TalentCorp dalam MATEC 2025.
Penganjuran kali ini menunjukkan lonjakan keyakinan yang ketara berbanding MATEC 2024 yang mencatatkan 26,550 pengunjung dan jualan RM16.6 juta. Untuk edisi 2025, jangkaan pengunjung harian adalah: Hari Pertama (25,710), Hari Kedua (35,300), dan Hari Ketiga
(43,630), membawa kepada sasaran keseluruhan 104,100 pengunjung dengan potensi transaksi jualan sebanyak RM50 juta.
Penganjuran MATEC 2025 turut disokong oleh rakan industri dan agensi strategik seperti PETRONAS, PMH, GGR, Havoc, Daihatsu, Little Joe, Bateriku, CelcomDigi, Alienworld, Mannol, Decathlon, Mamee, C Zero Sdn Bhd, Cermin Pro, JV Autolube & TMG serta institusi kewangan seperti CIMB Bank, Bank Muamalat dan Bank Islam. Selain itu agensi kerajaan juga turut sama menyediakan kaunter antaranya PUNB, MARii, SME Corp dan Pusat Zakat Selangor.